Saturday, 21 June 2014

ADUN DAP BUKIT ASSEK MENINGGAL DUNIA.



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek Wong Ho Leng, yang meninggal dunia akibat kanser malam tadi.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat handai mendiang pengerusi DAP Sarawak dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek Wong Ho Leng, yang meninggal dunia semalam," tulis Najib dalam laman Twitter beliau.

Menurut DAP, Wong meninggal dunia pada 10.50 malam.

Wong, 54, dikesan menghidap tumor otak pada Januri tahun lepas.

Beliau mendapatkan rawatan di Singapura awal tahun ini dan menerima jagaan paliatif di Pusat Perubatan Rejang di Sibu, Sarawak.

Friday, 20 June 2014

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN AKAN LETAK JAWATAN ???

1.  Laporan media sosial bahwa YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur dari Kabinet hanyalah "rekaan politik"  pihak tertentu.

2. Ini memandangkan saya sebenarnya mempunyai  hubungan dan persefahaman yang amat baik dengan YAB Tan Sri Muhyiddin.

3. Sebagai Timbalan Perdana Menteri,  YAB Tan Sri Muhyiddin sentiasa  mendokong dan telah menjayakan segala dasar dan agenda pembangunan nasional terutama yang berkait dengan rancangan transformasi negara yang dibawa oleh saya.

4. Sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional pula, YAB Tan Sri Muhyiddin sentiasa bersama-sama dengan saya dalam segala usaha memperkukuhkan dan memantapkan lagi perjuangan UMNO dan Barisan  Nasional. Ini merupakan satu usaha yang berterusan dan masih banyak yang perlu dilakukan oleh saya dengan bantuan YAB Tan Sri Muhyiddin.

5. Dengan adanya hubungan dan persefahaman yang amat baik di antara saya dengan YAB Tan Sri Muhyiddin, saya yakin kita dapat menghadapi segala cabaran untuk membangunkan negara seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.

Dato' Sri Mohd Najib
 20 Jun 2014

CINA DAP DALANG KEPADA JENAYAH PENGUBAHAN WANG HARAM ???


KUALA LUMPUR 18 Jun -Jumlah amaun hasil aktiviti pengubahan wang haram di Malaysia yang disiasat pihak berkuasa dalam tempoh tiga tahun lalu iaitu dari 2011 hingga 2013 mencecah RM13.1 bilion membabitkan 13,126 kes pelbagai jenis kesalahan jenayah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah amaun berkenaan, sejumlah RM567.9 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebanyak 568 kertas siasatan dibuka iaitu 219 kertas siasatan oleh pihak polis; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (119); Lembaga Hasil Dalam Negeri (115); Kastam (104); Bank Negara (5) dan Suruhanjaya Sekuriti (1).

"Inilah sebabnya kita ingin memastikan perkara ini (jenayah pengubahan wang haram) diambil tindakan dan kita berniat suci untuk meneruskan pindaan ini," katanya sambil mengakui bahawa angka tersebut adalah kali pertama didedahkan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013, di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang tersebut kemudiannya diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Terdahulu semasa membentangkan rang undang-undang itu, Ahmad berkata, melalui pindaan ke atas akta sedia ada, pihak berkuasa bakal memiliki kuasa lebih luas untuk membeku, menyita atau melucutkan hak harta pihak yang terlibat dalam penggubalan wang haram.

Bagaimanapun jelas beliau, dalam melaksanakan penguatkuasaan itu, sebarang tindakan penyitaan mensyaratkan pihak berkuasa mesti memulakan siasatan ke atas aktiviti haram terlebih dahulu selain perlu mempunyai alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.

Selain itu beliau berkata, menerusi pindaan terhadap subseksyen 3 (1) Akta 613, penalti lebih berat akan dikenakan bagi kesalahan penggubalan wang haram melalui takrifan serta peruntukan yang lebih menyeluruh mengenai kesalahan 'pengubahan wang haram'.

Katanya, hukuman ke atas pesalah yang ketika ini iaitu denda RM5 juta atau penjara 5 tahun ditingkatkan kepada penjara 15 tahun atau denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

"Memandangkan hampir keseluruhan aktiviti jenayah adalah bermotif dan melibatkan wang, pembanterasan jenayah dengan menyekat perolehan hasil dari kegiatan jenayah adalah salah satu aspek penting bagi mengurang ancaman jenayah di Malaysia.

"Kerangka perundangan yang kukuh dan komprehensif perlu disediakan bagi mewujudkan persekitaran berkesan dalam mencegah kegiatan jenayah yang menyumbang kepada aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Wednesday, 11 June 2014

Tiada Kenaikan Tambang Bas Ekspres Aidilfitri Ini



PETALING JAYA:
 Tiada kenaikan tambang bas ekspres menjelang Aidilfitri ini, sebaliknya ketetapan mengenai kadar baharu  akan diputuskan selepas sambutan perayaan itu.

Perkara itu disahkan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) kepada mStar Online.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Mohamad Asfar Ali meminta pengusaha bas menjual tiket bas ekspres mengikut kadar ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini.

"Semua pengusaha bas boleh menjual tiket sempena Aidilfitri mulai sekarang mengikut harga tambang sedia ada," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Mohamad Asfar berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan hanya akan menetapkan kadar tambang baharu bagi bas ekspres  selepas sambutan Aidilfitri.

Katanya, PMBOA bersetuju dengan komitmen kerajaan itu kerana tidak mahu penumpang terbeban dengan tambang baharu itu.

"Kita juga tidak mahu merosakkan 'mood' mereka yang ingin balik ke kampung halaman untuk meraikan hari raya bersama keluarga masing-masing," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kerajaan menunaikan janji untuk menaikkan kadar tambang seperti diusulkan PMBOA kepada SPAD pada Jun tahun lalu.

"Sebagaimana kita bersetuju dengan hasrat murni itu, kita harap kerajaan juga akan tunaikan janji untuk menaikkan kadar tambang seperti yang diminta," katanya.

Pada Jun tahun lalu, PMBOA mengusulkan cadangan kepada SPAD untuk menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus kerana berlaku peningkatan terhadap kos operasi.

Katanya, kenaikan itu perlu dilaksanakan kerana kali terakhir harga tiket disemak semula adalah pada 2008.

Mohamad Asfar berkata, peningkatan harga alat ganti yang bukan barang kawalan dan minyak pelincir iaitu bahan wajib bagi setiap bas juga menaikkan kos pengusaha bas.

Abby Abadi Dera Suami - Farhan Buat Laporan Polis




Pelakon Abby Abadi disahkan bercerai talak satu dengan suaminya Muhammad Nor Farhan Che Bakar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Rabu.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai yang dibuat Farhan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 9 Mei selaku defendan adalah sah mengikut rukun dan syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun Farhan ketika ditemui memberitahu ada faktor lain yang menjadi punca berlakunya penceraian tersebut.

Lelaki berusia 24 tahun itu mendakwa dirinya telah dicederakan oleh bekas anggota kumpulan Elite itu secara fizikal di bahagian muka, tangan dan lengan.

Menurut Farhan, bekas isterinya itu sering meminta wang  malah dia akan dimarahi sekiranya tidak memberikan jumlah yang dikehendakinya.

“Saya telah dicakar… Malah dia juga kata saya tidak membawa apa-apa kepentingan dan faedah kepada dirinya untuk meneruskan hubungan sebagai suami isteri,” katanya kepada media sebaik sahaja selesai perbicaraan kes penceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Bagaimanapun, Farhan menyatakan dia telah pun membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

“Saya dah buat laporan polis… Ia untuk dijadikan sebagai bukti sekiranya hakim memerlukannya namun kes penceraian kami diselesaikan secara baik dan dipersetujui kedua belah pihak.” jelasnya.

Mengulas dakwaan mengenai kontroversi yang mengatakan dirinya sering keluar malam dan berkaroke, Farhan memberitahu khabar angin itu tidak tepat.

Selain itu, Farhan juga dengan tegas mengatakan dia tidak mungkin akan kembali bersama Abby kerana sudah tawar hati.

Pasangan ini bernikah pada 9 Julai 2013 di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.

Abby sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan bersama pelakon Norman Hakim dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Tuesday, 10 June 2014

Presiden Turkmenistan Puji Malaysia, Anwar Ibrahim Pula Menghina.


ASHGABAT (TURKMENISTAN), 11 Jun (Bernama) -- Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov memuji Malaysia kerana melaksanakan dasar-dasar yang produktif dan bijaksana dalam membangunkan ekonomi.

Beliau berkata Turkmenistan juga mengagumi Malaysia atas peranan besar dan positifnya dalam rantau Asia Pasifik.

"Buat masa ini hubungan Turkemistan-Malaysia seperti dua sahabat sejati yang menghormati satu sama lain.

"Untuk itu kedua-dua pihak memberi keutamaan kepada memperkukuh dan memperluas kerjasama bersama," katanya pada majlis jamuan malam yang diadakan di Istana Presiden di sini pada Selasa malam bersempena lawatan rasmi kedua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turkmenistan.

Yang turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Malaysia di Turkmenistan Norman Muhamad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Berdimuhamedov berkata sejak mewujudkan hubungan rasmi lebih 20 tahun lalu, Turkmenistan dan Malaysia telah menjalin perasaan saling menghormati dan penuh keyakinan antara satu sama lain.

"Dengan mengukuhkan kerjasama secara menyeluruh berdasarkan semangat persahabatan dan saling memahami antara Turkmenistan and Malaysia, telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

"Hubungan ini membuka peluang untuk melihat ke hadapan dengan penuh yakin dan bekerjasama melalui pendekatan bersama yang bertujuan membentuk perkongsian jangka panjang. Ia juga membantu melindungi suasana aman dan pembangunan mapan di Asia dan seluruh dunia," katanya.

Presiden itu juga berkata perbincangan empat mata dengan Najib pada pada Selasa pagi telah membuktikan bahawa pandangan mereka serupa dalam aspek pembangunan global.

Beliau mengakui Turkmenistan dan Malaysia telah mengadakan dasar-dasar cintakan keamanan dan berkecuali yang menyumbang kepada pembentukan keadaan yang perlu bagi pembangunan terjamin dan mapan di dunia.

"Dalam hubungan ini, kami telah bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam rangka kerja pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM)," katanya.

Sementara itu, Najib berkata beliau berasa bangga bahawa Malaysia telah menjadi rakan kongsi dalam pembangunan Turkmenistan sejak bertahun lamanya.

"Walaupun hubungan kita telah membesar, masih banyak bidang yang boleh dijalin kerjasama antara kedua-dua negara. Sebagai negara sahabat Turkmenistan, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kita," katannya dalam ucapan beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata jumlah dagangan sebanyak US$33.31 juta pada 2013, adalah cerminan kepada potensi sebenar hubungan dua hala kedua-dua negara.

Beliau mengakui bahawa banyak lagi yang boleh dilakukan bersama oleh Malaysia dan Turkmenistan.

"Dengan pelaburan besar berjumlah US$8 bilion oleh syarikat petroleum negara, Petronas, di Turkmenistan, Malaysia telah membuat titik permulaan yang baik.

"Petronas mempunyai rekod cemerlang dalam meneroka bidang baharu dan melabur di wilayah-wilayah baharu. Dan ia merupakan pelabur yang baik, dengan rekod prestasi baik dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya," ujar beliau.

Najib menegaskan bahawa kejayaan Petronas akan menarik lebih banyak syarikat Malaysia untuk datang dan melabur di Turkmenistan -- bukan sahaja dalam industri minyak dan gas, tetapi juga bidang-bidang lain.

"Perbankan Islam, industri makanan halal, pembinaan jalan raya dan pelancongan merupakan beberapa bidang yang syarikat-syarikat Malaysia mempunyai kepakaran luas," katanya.

Perdana menteri berkata ketika Malaysia dan Turkmenistan terus membangun, beliau percaya kedua-dua negara boleh memastikan kerjasama menang-menang, dengan Malaysia menjadi rakan kongsi yang baik dalam usaha untuk kemakmuran bersama.

"Saya yakin hubungan antara Malaysia dan Turkmenistan akan terus membesar di setiap peringkat termasuk dalam kalangan generasi muda kita.

"Seperti pokok yang kita tanam bersama hari ini, hubungan kita akan terus kukuh. Dengan penyuburan dan persekitaran yang baik, pokok itu akan tumbuh membesar dan kuat, menghasilkan buah untuk semua. Begitu jugalah dengan hubungan kita. Bersama-sama kita memastikan ia terus membesar dan kukuh untuk manfaat semua," kata Najib.

Terdahulu itu, Najib melawat Monument of Constitution (monumen perlembagaan) dan meletakkan kalungan bunga serta menanam pokok pain di taman berdekatan.

Kira-kira 25 pemimpin dunia telah menanam pokok pain di taman itu sebagai simbol persahabatan dengan Turkmenistan semasa kunjungan rasmi mereka ke negara ini.

-- BERNAMA

Saturday, 7 June 2014

Najib Rakam Takziah buat Keluarga Gareth Huntley



KUALA LUMPUR, 8 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Gareth David Huntley.

Warga British berusia 34 tahun itu dilapor hilang di Pulau Tioman pada 27 Mei lepas.

Mayat Huntley, yang juga seorang sukarelawan di Pusat Perlindungan Penyu Kampung Juara, ditemui Rabu lepas.

"Ingatan dan doa kami bersama-sama Gareth Huntley, keluarga dan rakan mendiang pada masa yang tragik ini," kata Perdana Menteri menerusi Twitter beliau.

Hari Sabtu, Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani mengesahkan mayat seorang lelaki yang ditemui di Sungai Mentawak berhampiran Chalet Lagoon di Kampung Juara, adalah Huntley.

Ini berdasarkan keputusan ujian DNA yang positif membabitkan sampel darah ibu Huntley, Janet Southwell, dan satu spesimen yang ambil daripada mayat berkenaan.

Southwell tiba di Malaysia semasa usaha mencari anaknya dilakukan.